Story Mory Cik Lala

Thursday, January 5, 2012

Murid Tahun 1 perlu waktu rehat awal

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Semua sekolah rendah disaran menyediakan waktu rehat khas yang fleksibel untuk murid tahun satu pada minggu pertama sesi persekolahan ini bagi memastikan mereka mempunyai tenaga mencukupi untuk belajar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, waktu rehat khas tersebut boleh diadakan pada pukul 8.30 atau 9 pagi berbanding 9.45 pagi seperti yang diamalkan. Katanya, tinjauan beliau mendapati ramai di kalangan murid tahun satu yang memulakan persekolahan hari ini tidak mengambil sarapan sebelum meninggalkan rumah masing-masing. Menurut beliau, keadaan itu mungkin disebabkan ibu bapa serta penjaga sibuk bersiap untuk pergi bekerja sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah. “Keadaan ini tidak boleh kita pandang ringan kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran. Saya sendiri pun kalau ke pejabat tanpa sarapan pagi akan lesu, kita semua pun begitu, apatah lagi anak-anak kecil. “Namun, penyediaan waktu rehat fleksibel ini saya serahkan kepada kebijaksanaan pengurusan sekolah,” katanya. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas melawat murid-murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai di sini hari ini sempena permulaan sesi persekolahan tahun ini. Beliau meluangkan masa selama kira-kira 45 minit untuk bertanya khabar murid-murid serta ibu bapa mereka dengan diiringi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Guru Besar, Sopian Mokhtar. Seramai 145 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu pada sesi kali ini.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan jangan lupa datang lagi.