Friday, March 9, 2012

Ipad baru diperkenalkan


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) – Komputer tablet iPad baharu keluaran syarikat Apple akan lebih tebal dan berat daripada iPad 2 ekoran gajet berkenaan dilengkapi bateri lebih besar dan berkuasa.

Namun, jangka hayat bateri baharu tersebut kekal sekitar 10 jam sama seperti iPad 2.

iPad baharu menggunakan lebih banyak kuasa kerana resolusi skrin komputer tablet berkenaan ditingkatkan sebanyak empat kali ganda.

Apple memperkenalkan gajet berkenaan pada satu majlis di sini kelmarin.

Tebal iPad baharu adalah 9.4 milimeter (mm) berbanding ketebalan 8.8mm untuk iPad 2.

Berat model iPad baharu yang dilengkapi Wi-Fi turut meningkat daripada 0.6 kilogram (kg) kepada 0.65kg manakala model yang menggunakan modem untuk mengakses data selular pula lebih berat.

Berat berkenaan meletakkan iPad baharu berada di antara iPad asal dan iPad 2.

Bagaimanapun, iPad baharu adalah lebih nipis berbanding iPad generasi pertama yang memiliki ketebalan 12.7mm.

iPad baharu akan mula dijual pada 16 Mac ini di AS, Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Puerto Rico, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Kepulauan Virgin AS. – AGENSI

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan jangan lupa datang lagi.