Story Mory Cik Lala

Sunday, March 11, 2012

Bakal jadi isteri kedua


Faradhiya
Atmosfera industri hiburan, bagai tidak berhenti dari serangan khabar angin liar mengenai artis tempatan. Terbaru, penyanyi dan pelakon, Faradhiya dikatakan sedang hangat bercinta dengan pemilik rangkaian sebuah hotel terkenal.
Malah, Faradhiya dikatakan bakal berkahwin dalam masa terdekat. Namun kurang manisnya, lelaki berjaya bertakhta di hatinya itu bukan bujang, sebaliknya suami orang. Justeru, ada pihak membuat spekulasi, Faradhiya bakal menjadi isteri kedua.

Tidak lari atau cuba menyembunyikan diri, Faradhiya semasa dihubungi Zass tidak keberatan memberi penjelasan mengenai perkara tersebut. Faradhiya atau mesra disapa Fara mengakui sedikit berang dengan fitnah disebarkan oleh pihak terbabit.

"Saya rasa, tidak perlu takut atau lari bila ada orang berkata mengenai saya. Saya sudah lali dengan gosip mengarut seperti ini. Cuma sudah beberapa tahun saya menjaga reputasi karier dari terlibat dengan cerita negatif. 

"Sepatutnya mereka bertanya kebenarannya sebelum mengeluarkan cerita mengarut seperti itu. Saya tidak kisah jika hati saya tercalar, tapi saya masih ada keluarga," katanya.

Faradhiya berkata, dia mengaku baru mengenali individu dimaksudkan oleh laman web hiburan tersebut, namun kenyataan mengatakan dia bakal berkahwin adalah mengarut.

"Saya akui baru mengenali lelaki dimaksudkan oleh blog hiburan tersebut. Bagi saya, bukan menjadi satu kesalahan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun kenyataan mengatakan saya akan berkahwin dan sekali gus menjadi isteri nombor dua, 200 peratus tidak benar sama sekali.

"Bukan mahu bercakap besar tetapi dari dulu lagi, saya memang minta dielakkan bercinta dengan suami orang. Apatah mahu menjadi isteri kedua dan sebagainya. Apa yang ingin saya tegaskan, saya akan buktikan pada semua pihak bahawa apa yang katakan itu tidak benar dan saya bukan wanita yang suka berkongsi," tegasnya. 


Proses kenali hati budi

Wanita yang bakal menginjak ke usia 28 tahun, 28 April ini, bagaimanapun tidak berselindung dan mengakui sedang mengenali hati seseorang.

Namun, Faradhiya enggan berbicara lanjut mengenai perkara itu dan menyifatkan masih terlalu awal untuk berkongsi segala-galanya dengan peminat.

"Saya bukanlah seorang individu yang gemar berkongsi cerita peribadi. Saya faham, sesetengah pembaca, mereka 'geli' bila membaca cerita mengenai kisah peribadi artis. Malah saya sendiri yang sedang bercerita sekarang pun, merasa geli untuk bercerita lebih-lebih.

"Saya rasa cukuplah saya katakan, saya kini sedang mengenali seseorang dan bila tiba masanya, serta segalanya sudah pasti, barulah saya bersedia untuk bercerita kepada peminat," katanya penuh berhati-hati.


Masih aktif

Enggan terus berbicara mengenai kisah peribadinya, Faradhiya berkata, dia bakal melancarkan album terbarunya dijangka berlangsung bulan hadapan.

Katanya, album berkonsep pop itu diterbitkan oleh Julfekar dan mengandungi lima lagu. Tiga lagu sudah dirakamkan dan kini dalam proses merakamkan dua lagi lagu. Antara judulnya, Tergila-gila dan Kau Telah Pergi.

"Julfekar menawarkan kepada saya untuk mengeluarkan album dan ia adalah peluang dinanti-nantikan. Maklumlah kini bukan senang untuk mengeluarkan album.

"Apatah lagi, ramai peminat tertanya dan keliru, apakah saya masih menyanyi atau tidak. Jadi, album ini adalah sebagai jawapan dan hadiah buat peminat," katanya yang akan ke Pulau Pinang bagi merakamkan klip video.

Faradhiya berkata, selain akan kembali aktif menyanyi, dia juga banyak tawaran lakonan. Namun kerana kekangan masa, Faradhiya terpaksa menolak tawaran lakonan dan banyak memberi tumpuan kepada telefilem.

"Saya kini terpaksa memilih tawaran. Bukan mula untuk demand, tetapi memandangkan saya akan aktif menyanyi, jadi saya takut jadual saya akan bertindih dengan waktu penggambaran.

"Maklumlah, penggambaran drama bersiri mengambil masa. Malah kadangkala saya ada persembahan pentas yang perlu dihadiri. Jadi saya tidak mahu susahkan orang lain jika saya banyak terima tawaran lain.

"Selain itu, saya jarang muncul di majalah atau dada akhbar kerana merasakan tidak ada projek yang mahu saya kongsikan. Justeru saya memilih untuk mengelak dari membuat sesi fotografi. Tapi selepas ini,mungkin tiada masalah untuk kembali seperti biasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan jangan lupa datang lagi.