Tuesday, March 6, 2012

Info ~~ Awas, Pneumonia Membawa Maut!

Masih terbayang berita di dada akhbar pada pertengahan tahun lepas mengenai kematian bayi berusia empat bulan di sebuah taska. Kematiannya adalah berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru dan bukan disebabkan tersedak susu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, berita ini membuatkan kita terfikir bagaimana perkara itu boleh berlaku. Memang benar, ajal maut semuanya di tangan-NYA. Namun sebagai hamba-Nya, kita boleh berikhtiar untuk mengelak daripada berlaku.

Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk. Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.

Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.

Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.

Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.

Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia. Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.

Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia. Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit. Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.

Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.

Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.

Simptom
♦ Demam panas
♦ Batuk dengan atau tanpa kahak
♦ Sakit dada
♦ Tiada selera makan, tidak mahu makan
♦ Rasa tidak sihat, sering merengek
♦ Pernafasan laju atau susah bernafas
♦ Muntah atau cirit-birit

Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda. Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.

♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.

♦ Batuk pneumonia
Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.

5 Tip Mudah :

1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.

2 comments:

  1. Risau klu anak2 ada tanda flu,batuk dan demam.....

    ReplyDelete
  2. hari tu bonda sy kene juga.. nasib ubat cepat bertindak.. risau..

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan jangan lupa datang lagi.