Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Friday, May 4, 2012

Bob Kuman Meninggal Dunia

Pelakon dan pelawak, Bob Kuman telah meninggal dunia pada jam 4.38 petang di rumahnya di Kota Damansara, sebentar tadi.

Berita kematian disahkan sendiri oleh Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi sebentar tadi.


Allahyarham meninggal dunia di sisi isterinya di rumah mereka di Kota Damansara.


Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira dua minggu selepas tersebar angin kononnya telah meninggal dunia.


Ketika tersebarnya khabar angin itu, Allahyarham atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi, menyindir dengan berkata 'tahniah' kepada mereka yang bertanggungjawab menyebarkan berita kononnya sudah meninggal dunia.


Kesihatan Bob Kuman mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak akhir 2010, yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas.

Thursday, March 8, 2012

STPM dirombak


Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan akhir berpusat tentukan tahap kelulusan setiap calon



Pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon.

Penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan memperkasakan program pendidikan Tingkatan Enam.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem taksiran baru itu, tempoh pengajian Tingkatan Enam, penawaran dan sistem penggredan mata pelajaran masih sama seperti sebelum ini tetapi kandungan pengajian dipecahkan kepada tiga bahagian kurikulum untuk mengisi tiga penggal.

“PBS diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Ia akan diadakan setiap penggal atau penggal tertentu saja,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

Beliau berkata, peperiksaan bagi menilai pencapaian pelajar akan diadakan setiap hujung penggal, iaitu penggal pertama pada November tahun pertama, manakala penggal dua dan tiga masing-masing pada Jun serta November tahun kedua pengajian.

“Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM dibuat berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal,” katanya.

Mohd Noh berkata, sistem itu bakal memberi kelebihan kepada pelajar kerana selain menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, mereka akan mempelajari kandungan kurikulum berbeza pada skala kecil dalam setiap penggal.

Justeru, pelajar boleh lebih fokus menghadapi pembelajaran dan mempunyai peluang lebih besar untuk melakar kecemerlangan.

“Antara kelebihan sistem pentaksiran baru ini adalah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir setiap penggal dengan menduduki semula peperiksaan yang akan diadakan selepas keputusan peperiksaan penggal tiga dikeluarkan.

“Ini adalah kali pertama MPM memperkenalkan PBS bagi hampir semua mata pelajaran. Ini adalah sejarah bagi MPM selepas terbabit dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun dan diharap mampu memantapkan sistem penilaian agar lebih holistik serta menguntungkan pelajar,” katanya.

46,712 calon lulus penuh STPM


Keputusan 2011 menurun berbanding 46,795 lulus penuh 2010

SELAYANG: Seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011, menurun sedikit berbanding 46,795 atau 92.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 2,579 calon lulus penuh lima mata pelajaran, 20,638 lulus empat mata pelajaran, 10,221 lulus tiga mata pelajaran, 7,074 lulus dua mata pelajaran dan bakinya lulus satu mata pelajaran. Seramai 50,669 calon menduduki STPM tahun lalu.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata 12 calon iaitu enam calon aliran sains dan enam aliran sastera mencapai keputusan cemerlang gred A dalam semua lima mata pelajaran berbanding hanya lapan calon pada 2010.

Katanya, berdasarkan peratusan kelulusan penuh mengikut mata pelajaran, prestasi calon bagi mata pelajaran Bahasa Arab, Sejarah dan Perakaunan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Bilangan calon yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dalam tujuh mata pelajaran meningkat satu peratus kepada 98.1 peratus berbanding 97.1 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

Mohd Noh berkata, pada umumnya, prestasi calon 2011 sama dengan 2010 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan sama iaitu 2.22.

Pucuk paku rahsia dapat 18 anak

Mek Jah jaga pantang selepas bersalin, banyak makan ulam untuk kekal sihat

Mek Jah Yusof, 52, dan suaminya, Isa Hassan, 56, berkahwin ketika usia muda 15 dan 17 tahun, dikurniakan cahaya mata pertama selepas tiga tahun berumah tangga.
Mek Jah berkata, sepanjang perkahwinannya beliau sentiasa patuh kepada suaminya termasuk tidak pernah menolak ajakan suaminya untuk bersama walaupun penat menguruskan anak yang ramai.

“Tiada rahsia khusus membolehkan saya mempunyai anak ramai, hanya berpantang dan menjaga pemakanan, seperti hanya makan nasi dengan ulam segar, serta mengelak minum air batu.

“Sepanjang pantang selepas melahirkan pula, saya memang patuh terhadap nasihat ibu yang mempunyai sembilan anak, manakala suami pula ada 15 adik-beradik, namun keluarga kami tidak pernah mengenali sebarang vitamin atau ubat moden untuk sihat berbanding pasangan sekarang.

“Saya dan suami juga kuat bekerja bagi membesarkan anak yang ramai, seawal jam 7 pagi, Isa perlu turun sungai di Kampung Pulau Kundor, untuk memotong pokok nipah sebagai sumber pendapatan keluarga.
“Saya pula membantunya dengan memilih batang nipah dan memotongnya untuk mendapatkan bahagian bunga yang akan dihiris nipis untuk dijual kepada pelanggan sekitar kampung ini, ” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pantai Pulau Kundor di sini.

Katanya, anak pertama lelaki, Zulkifli, yang kini berusia 34 tahun dan sudah berumah tangga serta mempunyai empat anak berusia antara dua hingga enam tahun.

“Daripada 18 anak makcik itu, tiga daripadanya meninggal dunia sebaik dilahirkan beberapa bulan iaitu anak yang ketiga, kelima dan yang ke-16, manakala selebihnya yang sulung hingga yang bongsu kini berusia lapan tahun hidup sihat dan tinggal bersama makcik di rumah usang ini,” katanya.

Katanya, 12 daripada 15 anaknya sudah tidak bersekolah dan hanya mampu bersekolah setakat tingkatan tiga malah ada yang hanya setakat sekolah rendah.

“Kami hidup miskin, namun sepanjang perkahwinan hampir 40 tahun lalu, tidak pernah bergaduh besar, melainkan hanya satu kali ketika berdepan masalah kewangan yang kritikal,” katanya.

Pelajar OKU cemerlang STPM

KUALA LUMPUR - Kecacatan tidak menghalang pelajar orang kelainan upaya (OKU) mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011.
Itulah yang dibuktikan oleh tiga pelajar OKU, Anis Nabilah Wahab, Eric Su Chii Mou dan Yeow Ting Fong yang masing-masing mengalami masalah kecacatan penglihatan, rabun dan spastik.
Bagi Anis Nabilah, 19, yang memperoleh 2A dan 2B, keyakinan terhadap keupayaan diri untuk menggenggam kejayaan menjadi prinsip hidupnya walaupun dilahirkan buta sejak lahir.
"Saya percaya kejayaan pasti datang jika seseorang itu percaya pada kemampuan diri dan yakin bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu jika usaha berterusan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM 2011 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Ting Fong, 19, pula melahirkan rasa gembira kerana tidak menyangka memperoleh keputusan 4A.

Wednesday, March 7, 2012

Tren komuter SCS beroperasi minggu ini


KUALA LUMPUR – Masalah kesukaran penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan perkhidmatan tren komuter khususnya pada waktu puncak dijangka diatasi mulai hujung minggu ini menerusi operasi set tren baharu yang berkemampuan membawa 1,118 penumpang pada satu-satu masa berbanding 400 orang pada masa ini.
Perkhidmatan tersebut sebahagian daripada program menambah baik operasi KTMB menerusi pembelian 38 set tren enam gerabak (SCS) setiap satu dari China dengan kos keseluruhan RM1.9 bilion.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Hider Yusoff berkata, sebanyak 16 set tren SCS telah tiba dengan empat unit dijadual beroperasi mulai hujung minggu ini di laluan Pelabuhan Klang, Seremban dan Rawang.
“Selepas 17 tahun komuter beroperasi dengan tiga gerabak bagi setiap perjalanan, kini kapasiti perkhidmatan ini bertambah dua kali ganda dengan memuatkan 1,118 penumpang dalam satu masa,” ujarnya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau sebelum itu membawa wakil media buat pertama kali merasai perjalanan dari KL Sentral ke Kajang menggunakan tren baharu itu yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.
Mohd. Hider memberitahu, baki 12 set tren komuter itu akan selesai dipandu uji tidak lama lagi sebelum memulakan operasi.

Bakal sambut anak perempuan


QUE HAIDAR dan Linda Jasmine bahagia dengan kehidupan mereka yang sederhana. Mereka kini bekerjasama menguruskan Linda Jasmine Performing Arts Studio selain menguruskan bengkel berkaitan tarian dan teater.

USAI pementasan teater muzikal KL Energetik yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Linda Jasmine Performing Arts Studio di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada malam minggu lalu, penulis menyapa koreografer tarian popular, Linda Jasmine. Penampilan terbaharu isteri kepada pelakon Que Haidar itu, dia kini sedang sarat mengandung tujuh bulan.
Kata Linda tahap kesihatannya kini kurang menentu. Dia tidak sedap badan ekoran beberapa kali terjatuh di atas pentas sewaktu hadir memantau perkembangan produksinya sepanjang tiga minggu latihan dijalankan sebelum ia dipentaskan selama tiga malam berturut-turut pada minggu lalu.
Bagaimanapun, Linda yang tidak lokek menguntum senyum masih sudi meluangkan sedikit masa untuk ditemu bual.
“Pembawaan bayi kali ini paling memenatkan! Penat yang lain macam berbanding sewaktu mengandungkan Qhalif dan Ratu dulu,” ujar Linda membuka cerita.
Berbicara lebih lanjut mengenai usia kandungannya yang kini hampir mencecah usia tujuh bulan, kata Linda dia dijangka melahirkan bayi yang sudah disahkan jantinanya perempuan itu pada 1 Mei ini.
“Saya memang mahukan seorang bayi perempuan, jadi sudah tentu selepas membuat imbasan jantina bayi sewaktu berusia lima bulan, saya cukup gembira apabila mendapat tahu saya bakal melahirkan seorang lagi bayi perempuan,” katanya penuh gembira.
Apabila ditanya tentang pemilihan nama bakal bayi perempuannya itu, wanita yang berusia 40 tahun itu mengaku sudah memilih nama untuk anaknya itu, tetapi kata Linda biar ia menjadi rahsia terlebih dahulu. Ulasnya ringkas: “Nama sudah ada tapi biarlah rahsia dulu, nanti tak ada kejutan.”
Bersalin bedah
Bercerita lanjut tentang aktivitinya sepanjang hamil, Linda yang ditanya tentang pengalaman rejim senaman atau tarian tertentu sewaktu mengandung, memberitahu dia cuma mengambil makanan yang seimbang dan senaman ringan untuk memastikan dia dan kandungannya sihat.
“Saya lebih mementingkan tentang cukup minum air, makan vitamin dan makan makanan seimbang selain melakukan senaman yang bersesuaian dengan keadaan saya sekarang,” dedah Linda.
Kemudian sewaktu ditanya mengenai diet yang diamalkan selaku juru latih tarian profesional, dia menegaskan bukan individu yang sesuai untuk bersoal jawab mengenai penjagaan kesihatan yang sempurna.
“Kadang-kadang, saya mengamalkan diet melampau kalau mahu kurus, tapi itu dulu sekarang tidak lagi. Malah saya akui, ketika awal proses kehamilan, saya ada juga menari. Sekarang apabila tengok budak-budak menari terasa gian juga, cuma untuk keadaan sekarang, saya perlu berehat dan tidak melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan kami berdua,” jelas Linda lagi.
Saat ditanya tentang kaedah kelahiran bayi yang akan dijalaninya nanti, Linda yang begitu alah terhadap ubat-ubatan terutama pil penahan sakit, memberitahu dia sekali lagi bakal melahirkan anak menerusi teknik pembedahan.
“Secara jujur, saya alah dengan pil penahan sakit. Bayangkan, nanti apabila bersalin saya terpaksa merasa bagaimana perut saya dibedah tanpa sebarang ubat bius. Saya sendiri tak dapat nak bayangkannya,” ujar Linda bersungguh-sungguh.
Linda kemudian secara tiba-tiba memberitahu, hanya satu ‘ubat’ yang paling mujarab untuk membuatkan dia lalai tentang kesakitan yang bakal dihadapi kelak. ‘Ubat’ tersebut adalah sokongan daripada suaminya, Que Haidar sewaktu dia bakal bertarung nyawa di bilik bersalin.

“Sepanjang tempoh hamil, dia banyak tolong saya dan memberi sokongan kepada saya, malah nanti pada waktu bersalin, saya masih memerlukan sokongan suami untuk memberi saya kekuatan melalui fasa bersalin itu. Kemudian, selepas bersalin, Que masih perlu membantu saya kerana dia kena ambil alih tugas menguruskan studio kerana saya perlu berpantang,” bicara Linda bersulam tawa mengekeh sekali gus berterima kasih terhadap pengorbanan yang dilakukan suaminya sejak mereka berkahwin.
Sementara itu, kata Linda kedua-dua permata hatinya, Ratu dan Qhalif juga tidak banyak ragam dan membuat proses kehamilannya kini agak berjalan lancar.
“Ratu macam penyeri, apabila kami pulang ke rumah dia yang akan menghiburkan kami. Menari, menyanyi dan macam-macam lagi. Dia seperti faham bahawa saya sekarang sedang sarat mengandung. Dia tidak banyak songeh dan sememangnya sangat membantu sebagai seorang anak kecil,” cerita Linda bersungguh-sungguh.
Ditanya mengenai persiapan dan persediaan menyambut kelahiran cahaya mata ketiga, menurut Linda, mereka masih belum membeli pakaian untuk bayi perempuannya itu.
“Mungkin kami akan membeli beberapa pasang baju bayi dalam masa terdekat ini. Selebihnya hanya guna balik baju-baju Ratu yang masih elok. Sewaktu majlis melenggang perut tempoh hari pun sudah ada tetamu yang datang dan menghadiahkan kami beberapa set kelengkapan bayi,” tuturnya.
Que cerewet
Beralih kisah kepada pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2009, Que Haidar sebagai seorang suami dan bapa, dia mengaku berdebar menanti kelahiran cahaya mata keduanya itu.
“Secara jujur, saya tidak kisah jantina anak kami. Asalkan bayi kami sihat dan sempurna sifat,” ujar pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, itu dengan jujur.
Bercerita mengenai ragam isterinya sepanjang tempoh hamil, ujar Que dia masih cuba menjadi seorang suami dan pencinta terbaik buat Linda.
“Linda tak banyak permintaan, tapi dia suka mengeluh seorang diri terutama sewaktu mengandung. Saya kasihan Linda, tapi saya pun kadang-kadang tak tahu bagaimana mahu menolongnya. Dia susah tidur kerana kadang-kadang bayi dalam kandungan bergerak-gerak dan banyak kerja.
“Pendek kata, saya faham kesusahan yang dia tanggung, jadi saya berusaha dengan sebaiknya untuk menjadi suami yang menyokong dia dari segala aspek,” ujar Que yang turut membantu Linda mengendalikan perniagaan studio tarian yang kini sudah beroperasi selama tujuh tahun di Ampang, Selangor.
Dalam pada itu, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2009 itu juga kini dikatakan lebih banyak memfokuskan masa bersama keluarga dan begitu cerewet sebelum memberi persetujuan untuk berlakon. Apa alasannya?
“Saya mengaku memang cerewet dan harus lebih selektif terhadap tawaran yang diberikan bukan sebab besar kepala tapi saya perlu betul-betul mempertimbangkan masa yang akan saya salurkan kepada kerjaya yang sepatutnya, tempoh itu saya habiskan bersama keluarga,” jelas Que.
Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu juga mengakui sudah banyak menolak tawaran selepas kali terakhir muncul bersama filem Rock 2 arahan Mamat Khalid yang menanti masa untuk masuk panggung.
“Kalau hidup seorang dulu, tak banyak yang kita perlu fikirkan dan semua tawaran kita rembat. Sekarang apabila sudah berkeluarga saya perlu perlahankan rentak.
“Kini, setiap kali mendapat tawaran saya perlu tahu semua aspek. Siapa pengarah, apa watak saya, bagaimana skrip dan berapa bayaran saya. Itu yang menjadi faktor mengapa saya jarang muncul sebagai seorang pelakon lagi,” kata Que tanpa berselindung.


Tuesday, March 6, 2012

Dua set upin dan Ipin



DUA karakter animasi cilik yang merupakan adik-beradik kembar, Upin dan Ipin, bukan sahaja dikenali di seluruh Malaysia, malah di arena hiburan antarabangsa.
Karakter untuk filem animasi dalam bentuk tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia, Geng: Pengembaraan Bermula ini juga berjaya memenangi pelbagai anugerah dan baru-baru ini, ia dinobatkan sebagai Animasi Paling Berjaya dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records 2011.
Apa yang membanggakan, filem animasi pertamanya terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. ini telah berjaya mengumpul kutipan pecah panggung mencecah RM6.3 juta.
Melihat kepada kejayaan filem dan siri animasi di TV itu, Les' Copaque dan CTRA Production menggembleng tenaga untuk menghasilkan sebuah lagi produk yang bakal memeriahkan lagi industri hiburan tanah air iaitu pementasan teater yang diberi judul Upin & Ipin The Musical.
Jika menerusi TV atau layar perak, ia sekadar muncul dalam bentuk animasi, namun, kesemua karakter dalam siri dan filem animasi tersebut pada kali ini 'dihidupkan' untuk dipentaskan secara langsung di pentas teater pula.
Setelah mengadakan uji bakat yang dihadiri oleh beratus-ratus orang, empat kanak-kanak telah dipilih untuk melakonkan watak Upin dan Ipin dalam teater muzikal ini.
Empat orang? Sebenarnya karakter Upin dan Upin disediakan dalam dua set iaitu empat orang yang dipilih dan mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Upin & Ipin A dan Upin & Ipin B.
Kumpulan Upin & Ipin A masing-masing menampilkan Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril, 11 tahun dan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13 tahun manakala Faris Azim Abd Karim, 14 tahun dan Amir Johar Nadim, 11 tahun masing-masing sebagai Upin & Ipin B.
Dua set Upin & Ipin ini akan dibahagikan kepada bahagian pertama dan kedua teater ini kelak.
Keempat-keempat kanak-kanak tersebut mempunyai cerita masing-masing dan pengalaman yang berbeza. Kosmo! sempat menemu ramah dan mengadakan sesi bergambar bersama mereka yang bertempat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Adamme uji bakat dua kali
Bagi Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini, bidang lakonan bukan perkara baharu bagi dirinya. Ia disebabkan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Kuala Lumpur ini pernah tampil dalam filem Krayon arahan Dean A. Burhanuddin pada tahun 2010.
"Saya pernah terlibat dalam filem Krayon untuk watak Afiq. Selain itu, saya juga pernah hadiri uji bakat untuk drama Geng Bas Sekolah, namun gagal.
"Saya juga ada terlibat dalam iklan komersial TV seperti Courts Mammoth, Astro B.yond, Giant, dan Astro Ceria. Ini kerana ibu saya memang sering bawa saya ke sesi uji bakat-uji bakat terbuka yang diadakan," tuturnya yang lebih mesra disapa sebagai Adamme.
Cerita Adamme, semasa pertama kali ke sesi uji bakat Upin & Ipin The Musical, wujud perasaan malu dalam diri kerana baginya ketika itu dia belum bersedia sepenuhnya.
"Ibu ada terbaca dalam surat khabar dan tiba-tiba, dia ajak saya ke Istana Budaya. Mula-mula saya rasa pelik, kenapa mak bawa saya ke sana. Sampai di sana, barulah saya sedar rupanya mak bawa saya ke uji bakat Upin & Ipin The Musical.
"Saya hadir ke uji bakat sebanyak dua kali kerana pada uji bakat yang pertama saya seperti tidak bersedia. Saya risau tidak akan terpilih, namun pada uji bakat kali kedua, saya memang sudah betul-betul bersedia. Ibu pun berikan kata-kata semangat kepada saya," katanya yang meminati pelakon Aaron Aziz dan Lisa Surihani.
Danial menggigil

"Saya pernah berlakon di sekolah, jadi saya tidak terlalu takut untuk berlakon di pentas Upin & Ipin The Musical.
"Tapi mungkin kali ini dalam teater yang ditonton ramai orang, ahli keluarga dan saudara-mara mungkin saya akan menggigil," begitulah luahan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13, yang memang meminati animasi Upin & Ipin.
Disebabkan minatnya itu, pelajar St. John Institution ini memberanikan diri untuk menghadiri uji bakat yang dijalankan apabila terlihat iklan uji bakat tersebut dalam akhbar yang dibacanya.
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah besar dalam menghafal skrip, namun cabaran itu hadir semasa ingin mengingati langkah tarian terutama bagi lagu berjudul Rama-Rama dan Buku yang telah dicipta khas untuk teater ini.
Selain itu, Danial juga ada membuat rujukan untuk menjayakan wataknya dalam teater ini sebagai Ipin iaitu dengan melihat dan mengkaji semula watak animasi tersebut.
Ceritanya lagi, ibu dan bapa sentiasa menyokong apa yang diminatinya ini dan dia berjanji tidak akan pernah mengabaikan pelajaran.
Azim miliki studio tarian
Jika melihat kepada tubuh kecilnya, pasti ramai yang tidak menyangka Faris Azim Abd. Karim sebenarnya sudah berusia 14 tahun dan semasa temu ramah, dia juga kelihatan paling sopan dan tertib.
Mempunyai minat terhadap tarian breakdance, Faris juga mempunyai sebuah kumpulan tarian b-boy yang dikenali sebagai Zeppo Youngsterz selain memiliki sebuah studio tarian sendiri di rumahnya.
Apa yang menariknya tentang Faris, kesemua koreografi tarian yang direkanya adalah hasil pembelajarannya dalam laman sosial YouTube.
"Saya menari breakdance sejak berumur umur 11 tahun. Sebenarnya, saya datang ke uji bakat Upin & Ipin The Musical kerana ingin tunjukkan bakat tarian b-boy saya, bukan untuk berlakon.
"Tapi selepas itu, saya disuruh berlakon dan tidak sangka pula saya berjaya mendapat watak Upin. Saya pun tidak tahu apa itu teater sebelum ini, hanya ingin mencuba nasib," jelas Faris tersenyum sipu.
Namun, Faris mengakui kelemahannya yang sukar untuk mengekspresikan mimik muka ketika lakonan untuk menunjukkan perasaan takut dan terkejut.
Bagaimanapun, untuk menunjukkan kesungguhannya, Faris akan tekun berlatih selama dua atau tiga jam untuk menghafal skrip dan apa yang dimahukan pengarah.
Amir malu dengan keluarga
Sepanjang sesi temu ramah, Amir Johar Nadim paling petah berbicara. Ada sahaja yang ingin disoal dan dijawabnya. Bagi Amir yang berusia 11 tahun ini, berlakon di pentas teater yang ditonton oleh ramai orang tidak menjadi masalah buat dirinya.
"Saya sudah biasa berlakon dan saya pernah pegang watak sebagai Hafiz dalam drama siri Geng Bas Sekolah semasa tahun dua dan tiga. Selepas itu, saya pernah juga tampil dalam sebuah telemovie, Tak Khatam Dah Khatan yang disiarkan di Astro Prima.
"Saya tidak berapa risau untuk berlakon teater sebab saya pernah berlakon dalam teater Lat The Kampung Boy menjadi budak kampung," cerita anak keempat dari lima orang adik-beradik ini.
Tambahnya, dia memang minat bidang lakonan. Ibu bapanya juga sentiasa menyokong kerjaya yang diminati pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur ini.
"Saya memang minat berlakon. Ibu saya yang memberi galakan kepada saya untuk mencuba dalam bidang lakonan.
"Saya tidak malu dengan orang ramai, tapi malu dengan keluarga saya sendiri, tambahan pula apabila saya terlihat mereka berada di hadapan kelak," akhirinya.


Brek disyaki punca kemalangan


ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, pagi semalam.




Bas dinaiki bersama 20 rakan terbalik ketika turun dari Genting Highlands

BENTONG: Dua pelancong warga India maut selepas bas ekspres yang mereka naiki bersama 20 rakan senegara terbabas sebelum terbalik ketika menuruni bukit di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.55 pagi, bas Star Mart Express yang membawa pelancong dari Kashmir, India itu dikatakan hilang kawalan dipercayai selepas mengalami masalah pada sistem brek sebelum melanggar penghadang jalan dan terbalik di laluan bertentangan.
Anita Aggarwal, 59, mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius dipercayai selepas kepalanya tersepit pada bahagian badan bas, manakala mangsa lelaki, Rajendra Kumar Agarwal, 67, mati dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dua puluh penumpang lain cedera dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang (HS). Sebelas daripada mereka dirawat di HKL, manakala sembilan lagi di HS.

Difahamkan, semua mangsa terbabit tiba di pusat peranginan Genting Highlands, Sabtu lalu dan pagi semalam berlepas untuk ke ibu negara sebelum menuju Singapura.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pemandu dan pemandu simpanan bas ekspres itu yang hanya cedera ringan kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya hingga mengakibatkan kematian selain bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati bas itu hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam dan laluan menuruni bukit menyebabkannya merempuh pembahagi jalan,” katanya.

Siasatan polis juga mendapati syarikat bas ekspres itu mempunyai dokumen dan permit lengkap untuk beroperasi, namun bas berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting, V Raganathan, berkata pihaknya terpaksa memecahkan bahagian bumbung bas bagi mengeluarkan mangsa termasuk menarik mereka yang tersepit di celah bumbung bas.

Kemalangan itu turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyampaikan ucapan takziah baginda menerusi Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani kepada semua mangsa dan meminta supaya bersabar dengan kemalangan yang menimpa mereka.

















Friday, March 2, 2012

Sekadar Berkongsi ~~~~ Elak gejala tersedak susu

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Sumber : Utusan Malaysia 2/3/2012

Monday, February 13, 2012

9 Perkara Tentang Rawatan Wajah

Meskipun ia satu rutin yang penting namun ramai antara kita yang merasakan merawat kulit satu perkara yang remeh untuk dilakukan.

Sebenarnya merawat kulit tidak lah sesukar yang kita fikirkan namun mungkin kerana maklumat yang salah menyebabkan aturan dalam hal penjagaan kecantikan menjadi rumit. Berikut, beberapa mitos dan fakta yang perlu anda ketahui tentang rawatan wajah.

1. Perawatan kulit wajah perlu dilakukan selepas usia 30 tahun
Perawatan kulit wajah merupakan proses membersihkan kotoran di permukaan kulit. Biarpun ia membantu dalam membersihkan wajah, rawatan ini juga turut berfungsi dalam melancarkan peredaran darah.

Justeru, pemilihan produk penting agar sesuai dengan kulit wajah. Bahkan, rawatan kulit wajah ini tidak hanya boleh dilakukan apabila anda sudah memasuki usia 30 tahun. Sebaliknya andai kulit anda memerlukan rawatan tersebut, tidak kira anda baru berusia awal 20-an, tidak ada salahnya jika mahu melakukan rawatan tersebut.

2. Aloe vera baik untuk kulit
Aloe vera atau lidah buaya memiliki beberapa fungsi yang bukan hanya baik untuk kulit tapi juga rambut. Apa yang perlu anda ketahui, menggunakan aloe vera asli atau yang belum diproses pada wajah bukan merupakan pilihan yang tepat.

Bahkan, penggunaan produk berasaskan aloe vera sama ada sebagai pelembap, pembersih wajah dan krim malam juga tidak bermakna kulit anda akan sentiasa cantik dan sihat. Mungkin juga produk tersebut tidak bersesuaian dengan kulit anda dalam memberikan hasil yang diingini.

Oleh itu berhati-hatilah dalam memilih produk yang mengandungi aloe vera di dalamnya. Pastikan anda mendapat saranan pakar terlebih dahulu atau pakar kulit bagi memastikan produk berasaskan aloe vera ini sesuai dengan kulit anda.

3. Melakukan ''waxing'' akan mengurangkan bulu pada wajah dan tubuh
Bukan hal yang mustahil untuk menghilangkan bulu pada wajah dan rambut sekiranya anda mencabut hingga ke akarnya. Namun tidak dengan ''waxing''. Melakukan ''waxing'' hanya membersihkan bulu pada permukaan dan hanya bersifat sementara. Selain itu, rawatan ini juga akan menyebabkan pertumbuhan bulu yang baru.

4. Melakukan skrub dengan batu apung baik untuk menanggalkan sel-sel kulit mati
Kulit kita memiliki kecenderungan semula jadi dalam menanggalkan selsel kulit mati, memandangkan ia adalah salah satu sistem tetap tubuh. Justeru, membersihkan kulit dengan pembersih normal seperti sabun secara lembut tanpa menggunakan batu apung juga membantu dalam membersihkan tubuh dari kotoran. Ini kerana membersihkan kulit dengan batu apung akan menyebabkan wujudnya masalah pigmentasi.

5. Penggunaan buah dan sayuran tidak mendatangkan kesan negatif
Bahan-bahan seperti lemon, timun, tomato, dan bawang merupakan bahan yang sering digunakan. Meskipun ia dapat membantu namun tidak sepenuhnya. Misalnya menggunakan timun untuk mengatasi masalah lebam bawah mata mungkin akan memberikan hasil yang efektif pada sesetengah orang tetapi mungkin tidak kepada mereka yang mengalami masalah tersebut disebabkan oleh perubahan hormon dalam badan. Justeru, lebih baik andai kita mengetahui terlebih dahulu penyebab utama masalah kulit.

Menggunakan sayuran dan buah-buahan juga boleh menyebabkan punca berlakunya iritasi atau alergi. Sebaliknya, fungsi buah-buahan adalah membantu menyediakan nutrisi yang diperlukan tubuh seperti vitamin, mineral sekali gus membantu meningkatkan kesihatan kulit.

6. Produk guna bahan semula jadi baik untuk kulit
Perkataan semula jadi tidak semestinya ia selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada kulit. Ada beberapa herba yang berbahaya dan mengandungi racun yang boleh memberi kesan buruk pada kulit. Justeru, sebelum meng gunakan bahan-bahan tersebut, periksa terlebih dahulu sama ada sesuai dengan kulit anda, proses pengo lahannya, kualiti dan jenis bahan yang digunakan.

7. Stim baik untuk semua jenis kulit
Melakukan rawatan stim untuk menghilangkan bintik hitam dan bintik putih dapat memberikan hasil yang baik, dengan syarat tidak dilakukan lebih dari satu atau dua minit. Suhu tinggi yang digunakan ketika rawatan boleh menyebabkan kandungan kolagen dan elastin hancur. Malah, ia turut membuka pori-pori yang tidak diperlukan. Selain itu, bukan semua jenis kulit sesuai untuk rawatan stim. Ada jenis kulit yang tidak disarankan untuk melakukan rawatan ini.

8. Rawatan pemutihan akan buat kulit putih
Warna kulit ditentukan oleh jumlah melanin pada tubuh anda dan bukan melalui rawatan pemutihan atau bleaching. Rawatan ini hanya membantu mencerahkan dan memiliki warna yang serasi dengan ton kulit anda sahaja.

9. Produk luar negara lebih baik daripada produk tempatan
Ramai berpendapat, pemilihan produk luar negara lebih berkesan serta memiliki khasiat yang lebih baik daripada produk tempatan. Namun, apa yang penting adalah anda perlu mengetahui jenis produk yang dikeluarkan bagi memastikan ia sesuai dengan kondisi cuaca dan jenis kulit majoriti sesebuah negara. Oleh itu, tidak benar jika ada beranggapan produk keluaran luar negara lebih bermutu dan ber kualiti dari produk tempatan.

Tip Elak Terlebih Mekap Ke Pejabat
Sedar atau tidak, ramai wanita yang terlebih mekap ketika hendak ke pejabat. Wanita ini berani menggunakan gincu dan pembayang mata warna terang malah berwarna- warni. Begitu juga dengan pemerah pipi yang menyala. Bukankah itu lebih sesuai untuk acara majlis malam hari. Jadi sebelum anda menjadi bahan bualan dan kutukan rakan sekerja, ikuti cara mekap yang sesuai untuk ke pejabat.

Bibir
Gunakan gincu daripada warna lembut seperti merah jambu, pic dan warna-warna natural lainnya. Jika ingin tampil lebih segar pada pagi hari cukup gunakan gincu warna merah jambu jenis glossy. Hindari warna merah terang, terkecuali jika ada acara menjelang petang atau malam hari.

Pipi
Cukup gunakan pemerah pipi berwarna gangsa atau merah bata. Sapukan tipis saja agar wajah nampak lebih segar dan berseri.

Mata
Hindari warna-warna kuning atau warna-warna terang lainnya, sesuaikan pembayang mata dengan warna pakaian yang anda kenakan. Sebaiknya hindari jenis mekap smokey eyes atau gothic.

Kulit Wajah
Elak dari memakai bedak asas yang tebal hingga nampak seperti mengenakan topeng. Anda mahu bekerja di pejabat dan bukannya untuk ke sesi fotografi .

Thursday, January 19, 2012

Sabung nyawa lawan api

KUALA LUMPUR: Lebih 50 pegawai dan anggota bomba terpaksa bersabung nyawa memanjat besi perancah (scaffolding) bagi memadam kebakaran di Tingkat 30 dan 31 sebuah bangunan dalam pembinaan di KL Sentral, Brickfields di sini, awal pagi semalam.

Pasukan berkenaan terpaksa berbuat demikian kerana kren digunakan bomba hanya mampu mencapai ketinggian sehingga 16 tingkat, manakala lif kontraktor pula hanya sampai sehingga ke tingkat 26.

Berikutan itu, anggota bomba mengambil risiko memanjat besi perancah yang dipasang di sekeliling bangunan berkenaan untuk sampai ke tingkat 30 dan 31 dengan membawa bersama hos dan pelbagai peralatan mereka.

Ketika memanjat besi perancah, anggota bomba juga terpaksa berdepan kemungkinan terjatuh kerana angin kencang ketika itu, selain kawasannya yang terlalu sempit menyebabkan peralatan berat yang dibawa turut tersangkut pada besi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata walaupun usaha mengawal api di bangunan tinggi amat sukar dan berbahaya, latihan memadam kebakaran dan menyelamat yang diadakan dari semasa ke semasa banyak membantu mereka.

Sebanyak 17 jentera bomba dengan 95 anggota dari sembilan balai bomba dari sini dan Selangor dikerahkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.53 pagi.

Kebakaran jam 3.50 pagi itu dipercayai bermula di tingkat 31 sebelum merebak ke beberapa aras lain. Bagaimanapun, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.40 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu berikutan tiada pekerja dalam bangunan ketika kejadian.

“Punca kejadian dipercayai daripada aktiviti membakar sisa pembinaan yang ditinggalkan dipercayai di tingkat 31 dan melarat ke bahagian lain. Kerugian dianggarkan RM10 juta,” katanya.

Pasukan pertama katanya, dengan 15 anggota tiba di lokasi dalam masa lima minit dan terus diarahkan naik ke tingkat 30 untuk memadam kebakaran. Mereka terpaksa menggunakan lif kontraktor sehingga tingkat 26 sebelum memanjat besi perancah sehingga tingkat 30.

“Operasi memadam api berdepan pelbagai kesukaran kerana bangunan yang bakal dibina setinggi 33 tingkat itu sepatutnya menyediakan kelengkapan bomba iaitu hos dan paip pada setiap tingkat yang sudah siap dibina mengikut piawaian yang ditetapkan, namun kontraktor gagal berbuat demikian.

“Malah, kemudahan keselamatan bomba yang ada hanya sehingga tingkat 25, itupun tidak beroperasi menyebabkan anggota kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyediakan kelengkapan sebelum naik ke tingkat 30.

“Selain itu, anggota kami juga terpaksa mengepam air daripada kolam renang di tingkat 38 kondominium Suasana Sentral Loft yang terletak bersebelahan bagi membantu memadam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, selain tingkat 30 dan 31 yang musnah sama sekali, kebakaran turut merebak cepat ke tingkat 28 dan 29 dipercayai berpunca daripada kayu yang disalut minyak di tingkat berkenaan.

Dalam pada itu, kebakaran turut mengakibatkan kesesakan teruk di seluruh ibu kota, khususnya ketika warga kota keluar ke pejabat atau menghantar anak ke sekolah berikutan Jalan Tun Sambanthan terpaksa ditutup sehingga jam 2 petang bagi memudahkan kerja memadam api, selain pergerakan kereta bomba.

Sementara itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam kenyataan akhbar berkata, kontraktor yang bertanggungjawab membina bangunan 348 Sentral yang terbakar memberi jaminan akan mengambil langkah bagi memastikan kejadian itu tidak memberi kesan kepada orang ramai dan bangunan berhampiran.

Jurucakapnya berkata, pihaknya turut menyiasat kejadian dan memuji kecekapan anggota bomba dalam melaksanakan tugas memadam api dengan cepat.

Bangunan 33 tingkat yang mula dibina pada 2010 itu dijangka siap akhir tahun ini.





Ni lah punca semalam jalan kat area sini sesak giler. huru hara hidup dibuatnya. Banyak jalan ditutup.